Wednesday, August 12, 2009

:: Sahabat ::

Ingati daku
Seandainya aku lupa pada Tuhan
Diwaktu kelapangan dan kesibukan
Dan juga kesenangan dan kesusahan.

Ingati daku
Zahir dan batinku dengan keislaman
Janganlah aurat ku didedahkan
Semakin singkat tipis dan dijarangkan.

Ingati daku
Hakikat diri ini milik yang Maha Kuasa
Diserahkan jiwa dan raga
Menjadi tumpuan hati buat segala-galanya.

Ingati daku
Untuk menjadi sahabat yang baik
Cintakan kedamaian
Kisah akhirat sebagai peringatan.

Ingati daku
Untuk bercinta hanya keranaNya
Mengutamakan sifat seorang yang beriman
Supaya menjadi benteng kukuh dari hasutan syaitan.

Tuesday, August 11, 2009

:: La Tahzan ::

Istimewa untuk hati yang sedang bersedih, jiwa yang sedang berduka, minda yang sedang berkecamuk, inilah petua terbaik buat mengubat resah dan gundah:

Amalkan tasbih, tahmid dan takbir - Inilah petua yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada anaknya Siti Fatimah.

Berdoa - Mohonlah kepadaNya. Ingatlah, doa itu senjata bagi orang mukmin.

Sibukan diri dengan sesuatu - Lakukan aktiviti yang boleh melupakan segala kekusutan seperti perbanyakan membaca al-Quran & pelbagai bahan bacaan, terlibat dengan aktiviti usrah, kemasyarakatan dan sebagainya


Luahkan perasaan anda - Bermacam cara boleh digunakan untuk meluahkan perasaan. Carilah seseorang yang paling anda percaya (sebaiknya yang ada pertalian darah atau orang yang arif dalam agama), menulis diari atau catatan harian, menulis blog dan sebagainya

Senyum - Apabila berada dalam tekanan, cubalah untuk senyum. Senyumlah dihadapan cermin dan lihatlah diri anda yang sedang tersenyum. Ia mampu menenangkan fikiran dan hati

Wednesday, August 5, 2009

:: G.A.D.i.S ::

Seorang gadis itu... Yang lembut fitrah tercipta, halus kulit, manis tuturnya, lentur hati ... telus wajahnya, setelus rasa membisik di jiwa, di matanya cahaya, dalamnya ada air, sehangat cinta, sejernih suka, sedalam duka, ceritera hidupnya ...

Seorang gadis itu ... hatinya penuh manja, penuh cinta, sayang semuanya, cinta untuk diberi ... cinta untuk dirasa ... namun manjanya bukan untuk semua, bukan lemah, atau kelemahan dunia ... ia bisa kuat, bisa jadi tabah, bisa ampuh menyokong, pahlawan-pahlawan dunia ... begitu unik tercipta, lembutnya bukan lemah, tabahnya tak perlu pada jasad yang gagah ...

Seorang gadis itu ... teman yang setia, buat Adam dialah Hawa, tetap di sini ... dari indahnya jannah, hatta ke medan dunia, hingga kembali mengecap ni'matNya ...

Seorang gadis itu ... bisa seteguh Khadijah, yang suci hatinya, tabah & tenang sikapnya, teman lah-Rasul, pengubat duka & laranya ... bijaksana ia, menyimpan ílmu, si teman bicara, dialah Áishah, penyeri taman Rasulullah, dialah Hafsah, penyimpan mashaf pertama kalamullah ...

Seorang gadis itu ... bisa setabah Maryam, meski dicaci meski dikeji, itu hanya cerca manusia, namun sucinya ALLah memuji ... seperti Fatimah kudusnya, meniti hidup seadanya, puteri Rasulullah ... kesayangan ayahanda, suaminya si panglima agama, di belakangnya dialah pelita, cahya penerang segenap rumahnya, ummi tersayang cucunda Baginda ... bisa dia segagah Nailah, dengan dua tangan tegar melindung khalifah, meski akhirnya bermandi darah, meski akhirnya khalifah rebah, syaheed menyahut panggilan Allah.

Seorang gadis itu ... perlu ada yang membela, agar ia terdidik jiwa, agar ia terpelihara ... dengan kenal Rabbnya, dengan cinta Rasulnya ... dengan yakin Deennya, dengan teguh áqidahnya, dengan utuh cinta yang terutama, Allah jua RasulNya, dalam ketaatan penuh setia . pemelihara maruah dirinya, agama, keluarga & ummahnya ...

Seorang gadis itu ... melenturnya perlu kasih sayang, membentuknya perlu kebijaksanaan, kesabaran dan kemaafan, keyakinan & penghargaan, tanpa jemu & tanpa bosan, memimpin tangan, menunjuk jalan ...

Seorang gadis itu ... yang hidup di alaf ini, gadis akhir zaman, era hidup perlu berdikari ... dirinya terancam dek fitnah, sucinya perlu tabah, cintanya tak boleh berubah, tak bisa terpadam dek helah, dek keliru fikir jiwanya, kerna dihambur ucapkata nista, hanya kerana dunia memperdaya ... kerna seorang gadis itu, yang hidup di zaman ini ... perlu teguh kakinya, mantap iman mengunci jiwanya, dari lemah & kalah, dalam pertarungan yang lama ... dari rebah & salah, dalam perjalanan mengenali Tuhannya, dalam perjuangan menggapai cinta, ni'mat hakiki seorang hamba, dari Tuhan yang menciptakan, dari Tuhan yang mengurniakan, seorang gadis itu ... anugerah istimewa kepada dunia!

Tuesday, August 4, 2009

:: Dia Pilihanku ::

Aku sedang menanti dia
Seorang lelaki yang akan bergelar suami
Seorang mukmin yang merindui syahid di jalan ALLAH
Seorang hambaNYA yang senantiasa zikrullah

Dia seorang lelaki yang tegas dan berani
Dia tidak pernah takut untuk berkata benar
Dia tidak pernah gentar melawan nafsu yang ingin menguasai diri
Dia sentiasa mengajak aku berjuang berjihad fisabilillah

Dia selalu menghiburkan aku
Dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran
Dengan zikir-zikir munajat
Dengan surah-surah rindu yang dihafaznya

Ketika aku leka diulik mimpi indah duniawi
Dia menasihati ku supaya mengingati mati
Ketika aku sedang asyik terpesona dengan buaian cinta dunia
Dia menyedarkan aku betapa lazatnya lagi pesona cinta Yang Maha Esa

Dia memang sentiasa kelihatan penat
Matanya penat kerana membaca
Suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir
Badannya letih kerana bermunajat di malam hari
Dia sentiasa mengingati mati
Baginya,dunia ini adalah pentas lakonan semata-mata
Kita hambaNYA adalah pelakon
Hasil keputusan lakonan kita akan diputuskan di padang Mahsyar nanti

Dia sentiasa menjaga matanya dari berbelanja perkara-perkara maksiat
Dia sentiasa mengajak aku mendalami ajaran Islam
Dia seorang yang penyayang dan taat akan kedua ibu bapa
Dia juga sentiasa berbakti untuk keluarga

Dia sentiasa tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan
Baginya, dugaan-dugaan itulah yang akan menjahit semula
Sejadah imannya yang terkoyak
Lantaran mungkin kerana kekhilafannya sendiri

Dia sentiasa menjaga solatnya kerana itulah maruah dirinya
Dia sentiasa bersedia menjadi imam dan pemimpin keluarga
Dia tidak pernah berasa malu mempertahankan agama IslamNYA
Kerana Islam adalah addin ALLAH yang sebenar-benarnya
Dia sentiasa ingin mencontohi sifat-sifat mulia Rasullullah S.A.W.
Dia juga sentiasa berusaha mencintai kekasih agungnya
Kekasih sejatinya dan kekal abadi
Iaitu ALLAHURABBI

Dia selalu berdoa dan mengimpikan syurga
Dia ingin mengajak aku ke sana sekali
Kerana, di situlah tempat pertama wujudnya cinta
Dia ingin bawa aku ke syurga yang abadi dan hakiki

Aku mencintai dia kerana agamanya dan kerana cintanya kepada Maha Pencipta
Andai dia hilangkan cintanya, maka hilanglah cintaku pada dia
Cinta dia terhadap Maha Pencipta mendekatkan aku padaNYA
Cinta Illahi jugalah yang menyebabkan aku memilih dia
Siapakah dia..???
Aku juga tidak mengetahui siapakah dia jodoh ku
Hanya Engkau Yang Maha Mengetahui segala sesuatu
Doaku, semoga dia tercipta untuk ku
Semoga aku bertemu jodoh dengan dia
Kerana..
Dia pilihan ku..